Jenazah 9 beranak dikebumikan esok

0
3

JENAZAH sembilan beranak yang maut dalam kemalangan dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, semalam akan dikebumikan esok.

Ia disahkan adik kepada Allahyarham Norul Naziah Buyong, Nurul Atika, 33, yang berkata, urusan pengebumian semua jenazah dijangka dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam esok.

“Lima daripada mereka termasuk Norul Naziah, 37, dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad, manakala empat lagi termasuk bayi berusia 10 bulan dikebumikan secara berasingan apabila didapati positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan pihak hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Shah Alam hari ini.

Nurul Atikah berkata, jenazah akan disolatkan di sebuah surau di Seksyen 17 dan ahli keluarga akan menguruskan pengebumian secepat mungkin sebelum Zohor.

Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa kemalangan, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dijangka dikebumikan di tanah perkuburan sama, malam ini.

Difahamkan, hasil saringan ke atas jenazah Allahyarham mendapati negatif Covid-19.

Norul Naziah dan lapan anaknya, Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3, dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan maut selepas kenderaan mereka yang rosak di tepi lebuh raya dirempuh treler.

Suaminya, Abdul Razak Majit, 50, pula mengalami cedera, manakala Mohamad Rohimi yang juga mekanik turut maut dalam kejadian itu.

Kejadian berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Padang Jawa, Klang selepas menghadiri majlis kenduri saudaranya di Melaka.

Bagaimanapun, anak lelaki mangsa yang berusia 14 tahun terselamat kerana tidak mengikuti keluarga berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here