Umno Padang Terap lulus usul Ismail Sabri sebagai ‘Poster Boy’ PRU15

0
2

UMNO Bahagian Padang Terap hari ini meluluskan usul menjadikan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘Poster Boy’ bagi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Umno Bahagiannya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai kerana Ismail Sabri diyakini mampu membeli hati orang ramai untuk mengundi BN dan Umno.

“Keputusan supaya Ismail Sabri menjadi ‘Poster Boy’ ini diluluskan sebulat suara dan faktor utamanya kerana beliau merupakan Perdana Menteri ketika ini.

“Beliau juga dilihat menjalankan tugas dengan baik dan faktor tersebut diyakini dapat menarik lebih ramai orang untuk mengundi Umno dan BN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian itu di Naka, hari ini.

Selain usul itu, tiga lagi usul yang diluluskan secara sebulat suara dengan satu daripadanya adalah menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal pada 2023.

Mengulas mengenainya, Mahdzir yang juga Naib Presiden Umno berkata, Perdana Menteri perlu diberi masa dan ruang mencukupi untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terutama pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Dalam erti kata lain, PRU15 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat. Apabila sampai ketika beliau merasakan sudah masanya adakan pilihan raya bersandarkan faktor tertentu, biarlah Ismail Sabri sendiri berbincang dengan kepimpinan parti,” katanya.

Mengenai kelayakan Ismail Sabri untuk diangkat sebagai Presiden parti, Mahdzir berkata perkara itu perlu diserahkan kepada ahli parti pada pemilihan akan datang.

“Itu soal pemilihan dan berbeza sama sekali dengan usul yang kita luluskan hari ini. Namun kalau boleh, kita mahu supaya Perdana Menteri menjadi orang sama menguruskan urusan berkaitan parti.

“Apa pun saya sebutkan tadi, ini perlu dikembalikan kepada ahli dan kita perlu kembali kepada bahagian serta akar umbi bagi menentukan perkara tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here