RUU355: DPIM sindir Faiz Fadzil

0
3

Fitri Nizam

Isu Rang Undang-Undang 355 (RUU355) adalah penting namun wabak pendemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi lebih ‘time sensitive’, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Berhujah panjang lebar menerusi satu kenyataan hari ini, beliau menasihatkan Ahli Jawatankuasa Amanah itu tidak terbawa-bawa perangai pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

“Sikap terlalu fokus kepada politik dan terlalu banyak berpolitik berbanding memerintah. Beliau gagal untuk melihat yang PN kini sibuk memerintah dan memastikan negara terselamat kesan buruk dari segi ekonomi dan kesihatan umum akibat pandemik Covid-19.

“Benar RUU355 ini penting dan menjadi isu fokus umat beragama Islam di negara kita, tetapi setiap isu ada masa dan ketika yang sesuai untuk diketengahkan,” katanya.

Dalam nada sinis, beliau berkata, seorang pemimpin yang mengangkat diri sebagai pemimpin masa hadapan untuk Amanah perlu tahu untuk meletakkan sesuatu isu berdasarkan keutamaan.

Dalam masa sama, Shahir mempersoalkan dalang di sebalik isu yang ditimbulkan anak kepada pemimpin tersohor Pas iaitu Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

“Kenapa Faiz Fadzil begitu ghairah untuk menembak PAS dengan isu RUU355? Sedangkan beliau tahu yang fokus negara ketika ini adalah untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kemudaratan yang amat besar iaitu pandemik Covid 19.

“Isu RUU355 ini bukanlah sesuatu yang asing, saban tahun kita selalu mendengar pemimpin DAP yang memainkan isu ini, tetapi entah bagaimana, sekarang baton ini sudah diserahkan kepada PAN (Amanah) – mungkin suatu yang terjadi secara kebetulan. Mungkin,” katanya.