Najib: ‘Mujahid tolong tunjuk bila TH Plantations rugi di bawah saya’

0
2

Aiman Hanif

Bekas menteri agama era Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pembohong dan “tukang fitnah” apabila menafikan penjualan aset Tabung Haji (TH), kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Mujahid sanggup berbohong semata-mata mempertahankan PH menjual aset TH secara lambak sewaktu mentadbir negara.

“Dulu dia kata TH tak jual aset. Kini, dia mengaku TH jual aset dan cuba memberi justifikasi kenapa TH perlu jual aset.

“Dia pun buat posting bahawa saya tiada bukti untuk kenyataan saya bahawa TH Plantations tak pernah rugi sepanjang tempoh saya (jadi) PM – iaitu tempoh THP menggandakan jumlah keluasan ladang milik mereka dari 15,000 hektar ke lebih 100,000 hektar (yang PH kemudian luluskan untuk jual lebih 76,200 hektar).

“Saya PM dari 2009 ke suku pertama 2018. Ini adalah prestasi kewangan rasmi THP yang dilapor kepada Bursa Malaysia,” tulis Najib di Facebooknya hari ini.

Najib turut menyertakan bukti prestasi TH Plantations di Bursa Malaysia pada masa itu.

“Mujahid tolong tunjuk tahun mana di atas yang TH Plantations catat kerugian?,” soal Najib lagi.

Terdahulu dalam satu hantaran di Facebooknya, Mujahid mengulas mengenai rasional penjualan ladang milik TH Plantations.

Dalam tulisannya, beliau mendakwa ada syarikat milik TH Plantations di bawah pentadbiran BN ketika itu menjadi “syarikat sakit”.

Bahkan katanya, pada 2015 ketika pentadbiran BN juga TH Plantations menjual asetnya di Gemas bernilai RM31.5 juta dan pada 2016 aset TH Plantations di Terengganu dijual dengan harga RM52 juta.

Jelas Mujahid, Najib mendakwa TH Plantations tidak pernah rugi dalam menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang beliau menjadi perdana menteri adalah andaian tanpa fakta.

Mengulas lanjut, Najib berkata beliau hairan dari mana sumber ataupun fakta yang dipetik Mujahid bagi menuduhnya berbohong.

“Sehingga kini, Mujahid tak pernah menjawab kenapa TH Plantations tiba-tiba menukar jurunilai CH Williams yang amat terkenal selepas PH jadi kerajaan dan akibatnya nilai buku aset-aset THP diturunkan dengan banyak dan kenapa PH luluskan untuk jual 76.2% daripada jumlah keluasan ladang THP selepas nilai buku diturunkan.

“Saya pun hairan dari mana Mujahid petik alasan-alasan untuk tuduh saya berbohong sedangkan fakta dan laporan rasmi kewangan TH Plantations ada di Bursa Malaysia.

“Rupanya dia petik dari artikel “The Rocket” milik DAP pada 20 Februari 2020 sebelum PH tumbang iaitu masa kerajaan PH diberikan lesen untuk menipu rakyat,” katanya lagi.