Pemandu treler ragut 10 nyawa direman 4 hari

0
2

PEMANDU treler yang terbabit kemalangan hingga menyebabkan 10 kematian 10 di Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite, tengah malam tadi, direman selama empat hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Selasa minggu depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun Mohd Fairus berkata, pemandu yang menyebabkan kematian sembilan beranak itu didapati negatif alkohol dan dadah hasil ujian air kencing.

“Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan treler dan tiga kenderaan berlaku pada jam 12.09 tengah malam.

“Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan disebabkan salah satu daripadanya mengalami kerosakan. Dua kereta lain ketika itu berhenti untuk memberi bantuan,” katanya.

Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan 10 mangsa berusia 10 bulan hingga 37 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Subang Jaya, Asisten Superintendan Lim Chin Huat di talian 012-2018080. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here