LEMBAGA Lebuh Raya Malaysia (LLM) melaporkan laluan trafik sesak di persimpangan Setia Alam di Shah Alam berikutan kejadian banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang semalam.
LLM melalui ciapan terkini di laman Twitternya memaklumkan, berlaku banjir kilat di persimpangan Setia Alam arah Utara dari Bukit Raja ke Setia Alam pada jam 2.08 petang tadi.
“Justeru, ia menyebabkan semua lorong terhalang dan trafik sesak,” katanya.
Sementara itu, pada jam 12.37 petang tadi, banjir kilat turut berlaku di persimpangan Setia Alam arah Utara dari Setia Alam ke Shah Alam.
“Semua lorong terhalang. Persimpangan ditutup sementara.
“Bagaimanapun, pada jam 1.13 petang tadi, lorong kiri lebuhraya raya tersebut telah dibuka, namun Trafik masih perlahan di lokasi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan puluhan pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing malam tadi apabila laluan untuk pulang ke rumah mereka di Setia Alam serta Bukit Raja dan Meru di Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat di Lembah Klang sejak pagi semalam.
Jalan-jalan utama di Setia Alam yang menghubungkan Meru dan Bandar Bukit Raja di Klang dinaiki air antara dua hingga tiga meter sejak lewat malam tadi menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang pulang kerja lewat malam terperangkap dan tidak dapat pulang ke rumah hingga tengah hari ini.
Sehingga jam 3.30 petang, hujan lebat masih berterusan di sekitar Lembah Klang. – Malaysiapost

