PM harap waris keluarga 10 korban kemalangan tabah

0
2

KEMALANGAN jalan raya yang meragut 10 nyawa malam tadi, mendapat simpati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menzahirkan perasaan sedihnya apabila menerima berita kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam.

“Saya menerima perkhabaran sedih dan pilu mengenai kemalangan maut yang telah mengorbankan 10 mangsa termasuk kanak-kanak.

“Lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki serta wanita dewasa antara mangsa yang dikenalpasti terkorban dalam kemalangan yang menyayat hati ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau turut berharap waris keluarga mangsa tabah menghadapi kehilangan ahli keluarga tersayang.

“Takziah kepada ahli keluarga mangsa, dan saya doakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.

“Saya doakan agar roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh golongan beriman dan beramal soleh.

“Keluarga Malaysia, sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat mangsa yang terkorban,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau menyeru pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati ketika menghadapi cuaca yang tidak menentu.

“Pandu dengan selamat, ingatlah orang yang tersayang dan ahli keluarga kita yang menunggu kepulangan kita,” katanya.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11.30 malam itu, mengorbankan nyawa Norul Naziah Buyong, 37 serta lapan anaknya, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12.

Selain, Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3 dan Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here