KKM kesan 11 lagi jangkitan kes varian Omicron

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan 11 lagi jangkitan kes varian Omicron yang membabitkan kes import di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 11 kes tersebut adalah daripada 18 kes yang disyaki berkemungkinan varian Omicron seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Khamis lalu.

“Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, daripada 11 kes tersebut, tiga (3) dari United Kingdom; Amerika (3) Nigeria (2); Arab Saudi (2); dan Australia (1).

Mengulas lanjut, beliau berkata sembilan kes adalah warganegara manakala dua kes melibatkan rakyat Nigeria.

“Lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori 2 dan tiga lagi kes tidak bergejala. Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.

“Kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandang ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan disebabkan tahap ‘viral load’ yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima.

Dalam masa sama, katanya Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron semalam dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS).

“Maklumat lanjut mengenai perkara-perkara di atas akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia ini, KKM akan mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 di semua Pintu Masuk Antarabangsa dan komuniti.

“Justeru, KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here