POLIS menafikan rakaman yang menunjukkan seorang lelaki cedera parah ditetak, berlaku di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah seperti yang tular di media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Datuk GS Suresh Kumar, berkata hasil semakan pihaknya mendapati tiada kejadian seperti itu berlaku dan tiada sebarang laporan polis diterima di mana-mana balai khususnya di Balai Bukit Selambau.
“Pihaknya mendapati penyebaran video kejadian itu telah menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat.
“Satu laporan polis berkaitan penyebaran video itu telah dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKMM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suresh berkata, pihaknya turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang video yang tiada kesahihan kerana dibimbangi akan mendatangkan ketakutan atau kegusaran kepada masyarakat.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Firdaus Mohd Nasir ditalian 012-3517317 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 29 saat yang memaparkan seorang lelaki putus kedua-dua belah tangan dan kaki dipercayai ditetak.
Berdasarkan keterangan di video, lelaki tersebut cedera parah selepas dikatakan ditangkap mencuri lembu ternakan penduduk di kawasan itu, – Malaysiapost
Kredit Foto: Utusan

