“RINDU arwah bonda. Adakalanya terjaga dari tidur di malam hari,” luah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi hantaran Facebooknya, Najib mengakui merasa kesunyian selepas genap setahun pemergian ibunya, Allahyarham Tun Rahah Mohamed Noah hari ini.
Menurut Najib, hari yang dilaluinya terasa kosong kerana tiada lagi panggilan daripada ibu yang memanggil namanya.
“Rindukan suara bonda, wajah bonda. Hari demi hari berlalu. Kesunyian. Kosong. Rindukan panggilan bonda.
“Tidak ada lagi. Tidak kedengaran lagi bonda panggil nama saya. Perasaannya amat susah hati. Pedih. Perit,” tulisnya.
Justeru, Najib menasihati orang ramai supaya meluangkan masa sebaik-baiknya dengan keluarga.
“Ambil gambar bersama banyak-banyak, rakam kegembiraan sekeluarga, dengan ibu bapa. Kerana mereka tiada penggantinya.
“Bila tiada satu hari nanti, gambar-gambar inilah yang terus menjadi ubat rindu kita. Betullah orang kata.
“Rindu yang paling susah kita lalui adalah rindu pada mereka yang telah pergi buat selamanya. Al-Fatihah,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut menitipkan doa agar roh Allahyarham ibunya dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman.
Pada 18 Disember 2020, Tun Rahah yang juga balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara di ibu negara. – Malaysiapost

