PRN Sarawak: Alexander Nanta seru rakyat Sarawak keluar mengundi

0
2

SETIAUSAHA Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyeru rakyat Sarawak untuk menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), sebelum jam 5 petang ini.

Beliau memaklumkan dirinya dan isteri, Datin Seri Angelina Celestine Ujang tiba seawal jam 8 pagi tadi bagi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.

“Hari yang dinantikan sudah tiba. Saya memilih memakai baju batik untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.

“Saya tiba seawal jam 8 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Hock Lam bersama-sama isteri, Datin Seri Angelina Celestine Ujang yang juga pengundi di DUN sama.

“Saya menyeru semua rakyat di Negeri Sarawak untuk menunaikan tanggungjawab kita pada hari ini sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12,” katanya menerusi Facebook.

Alexander turut dilihat tiba bersama calon GPS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat.

Pada PRN11 Sarawak, Jefferson yang bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan ke atas calon DAP, Larry Asap.

Jefferson memperoleh 4,596 undi manakala Larry 2,010.

Untuk saingan kali ini, beliau berdepan saingan lima penjuru, bertemu Robert Segie dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Puso Bujang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Robert Sawing dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Joseph Jinggut (DAP). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here