PENDAKWAH bebas, Asma’ Harun atau lebih dikenali sebagai Ustazah Asma’ menceritakan pengalaman ketika berkongsi rezeki bersama golongan gelandangan bukan muslim di sebuah pusat gelandangan di Seremban baru-baru ini.
Asma’ berkata, edaran sumbangan barang keperluan itu dimulakan dengan sedikit pengisian ilmiah bertajuk ‘Rezeki yang Berkat’, dikelolai oleh Ustaz Faried dan diterjemahkan kepada Bahasa Cina oleh Puan Farah.
Beliau yang juga pengasas pertubuhan Sahabat Amal Care, memberitahu semasa sesi penerangan berlangsung seorang wanita Cina bangun dan bertanya soalan ‘apakah makna rezeki’.
“Dari situ kami tahu bahawa mereka mempunyai minat untuk mengetahui tentang Rezeki dengan lebih dalam.
“Rata-rata dari kalangan mereka sudah berusia dan bukan dari golongan yang berpelajaran tinggi. Semasa menyampaikan dakwah, kami sedaya upaya menyampaikan secara mudah dan ringkas bagi memudahkan mereka faham.
“Alhamdulillah mereka memberi respon yang baik dan menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang tajuk yang diterangkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, katanya selepas tamat sesi pengisian ilmiah aktiviti diteruskan dengan pemberian barangan keperluan asas seperti beras, telur dan sedikit barangan dapur kepada gelandangan.
Menurutnya, program itu adalah salah satu langkah Sahabat Amal Care untuk mendekati gelandangan dalam menyampaikan keindahan Islam dan mengajak mereka mengenal Allah SWT dan Rasulullah.
“Terima kasih juga diucapkan kepada pada penyumbang sekalian, yang banyak memberi sokongan dan mendoakan kami. Kami sentiasa mendoakan kebaikan dunia dan akhirat buat kalian semua,” katanya. – Malaysiapost

