Muhammad Mustakim Ramli
SIAPA sangka kawasan sesak dengan aktiviti perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur serta berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), terdapat sebuah perkampungan berusia lebih 150 tahun.
Kampung Selayang Lama yang berada di Mukim Batu, berkeluasan 10 hektar dan mempunyai 668 penduduk tempatan, terdiri dari masyarakat Minang dan Mandaling.
Malaysia Post yang membuat tinjauan pada penempatan di utara Kuala Lumpur ini, percaya kampung berkenaan mungkin ‘hilang’ jika diabai pihak bertanggungjawab.

Berdasarkan pemerhatian, Kampung Selayang Lama dilihat terancam dengan kehadiran warga asing yang bukan sahaja bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur, malah memonopoli kawasan itu dengan tinggal di kawasan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Selayang Lama, Mohammed Shariff Abdul Rahman, 67, mendakwa penempatan yang mempunyai 274 rumah itu pada awalnya 100 peratus dihuni penduduk asal, namun saban tahun jumlah mereka kian berkurangan.

“Kita sentiasa membuat bancian dan jumlah terkini mereka yang tinggal di sini adalah 1,126 orang dengan jumlah penduduk tempatan yang tinggal hanya 668.
“Selebihnya iaitu 458 adalah warga asing, majoritinya adalah warga Indonesia iaitu 341 orang selain Myanmar dan India,” katanya.
Beliau mendakwa, penduduk asal terpaksa ‘berhijrah’ kerana tidak selesa dan terancam dengan kawasan berdekatan yang mula dikuasai warga asing.
“Laluan utama keluar masuk kampung dipenuhi pelbagai aktiviti warga asing… sampai jalan jadi sempit hingga pernah terjadi kebakaran, jentera bomba nak masuk pun susah hingga rumah itu musnah.
“Jadi ada penduduk mula berpindah dan ada kalangan mereka menyewakan kediaman kepada warga asing.
“Apabila ramai warga asing yang menyewa, penduduk lain pula terancam dan mereka pula berpindah dan akhirnya kediaman itu disewa lagi oleh warga asing,” katanya.

Dakwaan Mohammed Shariff terhadap masalah jalan keluar masuk ada asasnya kerana wartawan sendiri berdepan kesukaran untuk ke kampung berkenaan walaupun menggunakan motosikal.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Selayang Lama, Muhamad Hanafiah Mohamed Oodin, 45, berkata walaupun warga asing yang tinggal di kampung itu memberi kerjasama baik, masalah membabitkan mereka tetap timbul.
“Yang tinggal dengan kita tidak bermasalah, kita berkawan dengan mereka… apa sahaja aktiviti kita ajak mereka. Jadi kita memang kenal, rumah mana satu mereka tinggal dan di mana mereka bekerja.
“Masalah ini seperti kes curi atau pecah rumah dilakukan orang luar Kampung Selayang Lama. Masalah dari dalam ini tiada, yang sekitar kita inilah sering menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau berkata, gara-gara warga asing juga penduduk berdepan masalah kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di kawasan pasar borong, beberapa bulan lalu.

“Kawasan kampung Zon Hijau tetapi laluan keluar masuk di Zon Merah. Penduduk jadi terperangkap sedangkan kawasan kita ini berada di zon selamat.
“Kita bagaimanapun bersyukur ada hikmah di sebaliknya, warga asing berkurangan selain aktiviti mereka di sekitar jalan keluar masuk tidak seperti dulu.
“Namun kita khuatir jika kampung ini diabaikan pihak berwajib, tidak mustahil ia kembali sebelum PKP,” katanya. – Malaysiapost

