Pencemaran bau LRA Sungai Semenyih, LUAS buat laporan polis

0
2
Penduduk-penduduk mengambil air yang dibekalkan oleh Air Selangor di Pusat Khidmat Setempat berdekatan Padang Bola Hospital Kuala Lumpur hari ini.

LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam berhubung pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, hari ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal Selain Islam Negeri, Hee Loy Sian berkata, Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 juga telah dikeluarkan kepada premis berkaitan bagi pembersihan lokasi.

“Insiden ini berlainan daripada yang berlaku pada Rabu lalu melibatkan pencemaran air berbuih di Kampung Rinching Tengah, Semenyih yang berjaya ditangani oleh LUAS sebelum ia menjejaskan operasi LRA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 463 kawasan di lima daerah dijangka mengalami bekalan air tidak berjadual berikutan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan operasi, hari ini.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, penutupan LRA berkenaan selepas pihaknya mengesan berlaku pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, LUAS menerima maklumat daripada Air Selangor berkenaan pencemaran bau seakan diesel di LRA Sungai Semenyih pada jam 8.45 pagi ini.

Berikutan itu, LUAS menjalankan siasatan berhampiran sebuah kilang menyelenggara jentera berat dan mendapati terdapat pelepasan efluen mengandungi air basuhan termasuk cecair seperti minyak disyaki mengalir masuk ke pembentung sebelum memasuki Sungai Semenyih.

LUAS kemudian mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here