Kejayaan urus pandemik kunci utama keyakinan pelabur

0
2

KEJAYAAN negara menguruskan pandemik Covid-19 merupakan kunci utama yang memberi keyakinan kepada firma multinasional (MNC) menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah MNC itu juga didokong oleh dasar mesra perniagaan diamalkan kerajaan dan semua pemegang kepentingan utama.

“Ini dibuktikan melalui komitmen terbaharu Intel Corporation yang telah membuat pelaburan bernilai RM30 bilion ke Malaysia. Pelaburan oleh Intel ini bakal mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.

“Terima kasih juga kepada CEO Intel Corporation, Patrick Gelsinger yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke Malaysia bagi menyaksikan ikatan kerjasama pelaburan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mohamed Azmin berkata kemasukkan pelaburan asing sebegini akan membantu memberi manfaat jangka panjang seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) merangkumi keupayaan sumber manusia, teknologi berimpak tinggi serta pengukuhan ekosistem perniagaan.

“Malaysia akan terus menyokong dasar pertumbuhan holistik yang teguh dan mampan dalam memastikan perkembangan teknologi hijau, ekonomi digital dan IR4.0 demi masa hadapan yang lebih baik.

“Saya percaya lebih banyak pelaburan langsung asing akan di bawa masuk ke Malaysia, sekali gus menjadikan pelan pemulihan negara berada di landasan yang tepat di samping menjamin masa depan lebih cerah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here