Pindaan Akta 342 dibentang kepada PSC sebelum dibahaskan – KJ

0
1
PUTRAJAYA, 9 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

RANG Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dibentang terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Isnin ini sebelum bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat, hari sama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan dan keperluan untuk pindaan itu dan bersetuju untuk dimurnikan terlebih dahulu sebelum dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

“Pemurnian ke atas pindaan bertujuan melindungi kepentingan rakyat agar tidak terbeban dengan nilai kompaun yang mungkin terlalu tinggi bagi sesetengah pihak.

“Pada masa sama menambah baik akta sedia ada untuk mencegah dan mengawal pandemik serta wabak dengan lebih berkesan.

“Justeru mengambil kira pandangan yang diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara, KKM akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU Pindaan Akta 342,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairy juga memaklumkan, beliau bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Whip Kerajaan dan pihak Pembangkang berhubung pindaan Akta 342.

“Pada perbincangan tersebut, Ketua Pembangkang dan kedua-dua Whip Kerajaan dan Pembangkang bersetuju bahawa pindaan ini amat penting untuk membantu kerajaan menangani bukan sahaja pandemik Covid-19, malah pandemik lain yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.

RUU Pindaan Akta 342 akan dibentangkan pada Isnin ini susulan pengumuman Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bahawa sidang Dewan Rakyat ditambah sehari lagi, sebentar tadi.

Ia bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dibentang dan diluluskan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here