MENTERI Kesihatan merayu semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dijadual dibentangkan di Parlimen petang ini.
Khairy Jamaluddin berkata, pindaan Akta 342 penting kerana ia menumpukan kesalahan berulang ketika negara berdepan ancaman penularan varian Omicron.
Ahli Parlimen Rembau itu juga memberi jaminan isu “dua darjat” dari segi pelaksanaan penalti akan diatasi dan pihaknya bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan duduk bersama minggu depan untuk memperhalusi garis panduan serta meneliti perincian berkaitan pindaan itu.
“Apabila ada pesalah berulang, terutama dalam kalangan orang kenamaan, kita kena beri sesuatu yang boleh ‘menghalang’ mereka, inilah inisiaitif akhir kita.
“Saya betul-betul merayu Ahli Parlimen untuk bantu KKM meluluskan pindaan ini dan kita akan perhalusi garis panduan dan peraturan pada minggu depan.
“Mustahil bagi saya untuk memasukkan perincian dalam akta, takkan saya nak masukkan denda pelitup muka dan sebagainya dalam akta ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Khairy dijadual membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat petang ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, sekiranya pindaan itu tidak diluluskan, KKM tiada kaedah lain untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menaikkan jumlah penalti dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai, khasnya orang kenamaan. – Malaysiapost

