RANG Undang-Undang (RUU) persendirian bagi mendesak kelulusan penggunaan kanabis, hem dan ketum untuk perubatan serta industri bakal diusulkan di Dewan Rakyat.
Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang berkata, ia akan diusulkan jika kerajaan masih enggan membenarkan penyelidik tempatan mengkaji manfaat kanabis, hem dan ketum untuk kegunaan tempatan.
Zahidi menjelaskan, jika Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan memberi kelulusan, beliau dan beberapa Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan bebas akan mengusulkannya.
“Kita nak memperjuangkan hem dan ketum kerana ia ada peluang cerah di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Forum Awam: Masa Depan Mampan Industri Perubatan Kanabis, Hem dan Ketum di Malaysia, lapor FMT hari ini
Zahidi menjelaskan, beliau bersama beberapa Ahli Parlimen lain menghimpunkan hasil kajian sedia ada oleh universiti dan syarikat untuk dihantar kepada KKM dan KDN.
“Kita berusaha untuk dapatkan laporan mengenai ketum dan hem untuk dihantar kepada KKM dan KDN. Ada NGO bersama kita untuk kerajaan mempertimbangkan ketum dan hem,” katanya.
Mengulas lanjut, Zahidi berkata, kajian itu bagi membuktikan manfaat kanabis, hem dan ketum serta meyakinkan KKM dan KDN memberi kelulusan khas kepada penyelidik tempatan, antaranya Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Ahli Parlimen Padang Besar itu, kajian industri itu memerlukan kelulusan khas kedua-dua kementerian kerana membabitkan penanaman hem dalam jumlah besar yang bertentangan dengan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, kerajaan perlu melihat peluang penanaman ketum dan hem untuk pasaran negara dan pendapatan kepada rakyat.
“Hem bakal mencecah RM250 bilion pasaran seluruh dunia. Tiga negara sahaja keluarkan hem iaitu China, Perancis dan Chile. Malaysia punyai peluang terbaik kerana kajian antarabangsa dedahkan tanah kita terbaik untuk penanaman ketum dan hem,” katanya. – Malaysiapost

