Bank wajar serap caj RM1 MEPS – Asyraf Wajdi

0
3

PEMUDA Umno berpendapat ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk bank-bank utama negara meneruskan kembali caj RM1 untuk setiap pengeluaran wang tunai antara bank (MEPS) yang dikenakan.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana rakyat masih bergelut dalam keadaan pandemik yang masih belum reda.

“Bank-bank utama tempatan sepatutnya boleh sahaja menyerap caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai MEPS di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) demi rakyat.

“Ini kerana semakan keuntungan terkumpul bagi tahun 2021 sehingga 30 September 2021 mencecah puluhan bilion ringgit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, keadaan ketika ini menunjukkan prospek pemulihan ekonomi yang lembab, harga barang keperluan naik mencanak dan tiada lagi moratorium bermula Januari.

Katanya, selain itu bantuan tunai kerajaan ketika ini juga hanya bersasar dan tidak menyeluruh serta tiada keputusan pengeluaran terakhir simpanan sendiri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pastinya semua ini menunjukkan situasi rakyat yang sukar dan masih bergelut dengan kekurangan tunai.

“Bagi Pemuda Umno ini bukanlah masa sesuai untuk meneruskan kembali caj MEPS yang dikenakan.

“Sebaliknya inilah masanya Bank-bank wajar menzahirkan nilai-nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebenar berbanding hanya membudayakan orientasi kapitalisme memaksimumkan keuntungan semata-mata,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here