
PAKATAN Harapan (PH) menggesa kerajaan khususnya Menteri Kesihatan untuk menarik balik cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihak kerajaan diminta mengadakan perbincangan yang mendalam dengan PH serta pembangkang agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperolehi dan dipersetujui bersama.
“PH meneliti secara terperinci RUU yang telah dibentang semalam dan difahamkan bakal dibahas esok.
“Walaupun satu pindaan tambahan telah dibawa hari ini yang mengurangkan denda dan kompaun bagi RUU ini, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan berpandangan bahawa RUU ini tetap membuka ruang yang luas untuk berlakunya salah guna kuasa, rasuah serta amalan ‘antara dua darjat’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, parti itu secara tegas tidak menyokong pindaan tersebut.
“Memandangkan pendirian Ketua Pembangkang yang telah disampaikan kepada Perdana Menteri, dan memandangkan kerajaan tetap dengan pendirian untuk meneruskan perbahasa RUU ini, maka PH mengambil sikap tidak menyokong RUU ini di dalam bentuk yang telah dibentang,” katanya. – Malaysiapost
