CADANGAN pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam bagi bacaan pertama wajar diteliti semula, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berpendapat, menghukum individu seperti yang gagal memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sehingga denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya adalah sangat tidak munasabah.
Menurutnya, ia lebih tidak sesuai apabila Rang Undang-Undang (RUU) tersebut tidak menyertakan garis panduan untuk mengeluarkan kompaun.
“Alasan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa ia sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan selepas undang-undang itu diluluskan adalah tidak menepati objektif pindaan ini.
“Tiada undang-undang wajar diluluskan tanpa segala maklumat dan perincian dijelaskan dengan telus untuk pertimbangan ahli legislatif.
“Tindakan ‘piecemeal’ seperti ini menunjukkan ketidaksediaan KKM dalam merangka pindaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, apa jua tindakan menyegerakan RUU ini tidak boleh mengabaikan ketelusan dan keadilan.
“Negara ini mesti belajar dari episod pendemik ini. Salah satu sebab kenapa kita terus dalam keadaan sekarang ialah kerana kegagalan kita dalam melaksanakan keadilan dalam penguatkuasaan.
“Banyak sudah kes layanan dan tindakan ‘dua darjat’ antara orang biasa dengan mereka yang kenamaan dan berkuasa.
“Orang kampung, peniaga dan mereka yang biasa-biasa, dikenakan kompaun dengan secara tidak munasabah. Tetapi orang yang ternama, dikenakan denda yang sangat ringan,” katanya.
Beliau berkata, di kota-kota besar negara lain, rakyat diberikan pelitup muka jika kita tidak membawanya dan dinasihati dengan sopan.
“Malaysia tidak boleh menjadi negara bersifat ‘punitive’. Negara ini harus menjadi negara yang undang-undangnya mesti dilaksanakan dengan kemanusiaan.
“Ingatlah keadilan itu ditangan kanan, ihsan itu ditangan kiri,” katanya. – Malaysiapost

