BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa untuk mengadakan perbincangan awam, yang melibatkan hal ehwal dan peranan sistem raja berperlembagaan.
Gesaan tersebut dibuat dalam buku autobiografi terkini miliknya ‘Capturing Hope’ sewaktu membincangkan soal hubungan kaum dalam Malaysia baru.
Dr Mahathir dalam masa sama mengakui ia sebagai subjek yang sukar, namun beliau tetap menyatakan kepercayaan kepada sistem itu, tetapi menurutnya perbincangan mesti dilakukan.
“Malaysia sebuah negara raja berperlembagaan dan ini termaktub dalam perlembagaan.
“Perlembagaan juga menyebut bahawa pemerintahan beraja mempunyai beberapa peranan, seperti juga kepimpinan politik dan rakyat.
“Semua peranan dan tanggungjawab ini disebut jelas dalam perlembagaan dan tiba masanya untuk kita perbincangan di peringkat kebangsaan berkaitan hal ehwal raja berperlembagaan dan dan peranan perlembagaan yang sesuai, yang tertakluk ke atas raja-raja,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, raja-raja tidak patut terlibat dalam politik dan perniagaan.
Malah, Mahathir turut mendakwa terdapat pihak menggunakan nama istana untuk mendapat kelebihan yang tidak adil dalam bidang itu.
Bagaimanapun, pendirian beliau dalam isu penglibatan raja-raja dalam politik tidak dinyatakan secara hitam putih dalam buku itu.
Contohnya, Dr Mahathir juga percaya orang Melayu tidak maju kerana sifat ‘berserah hampir feudal kepada kerabat diraja dan orang bergelar’.
Beliau berkata, orang Melayu juga cenderung mendapatkan perlindungan daripada raja-raja jika ada sesuatu yang tidak kena. – Malaysiapost

