Warta rizab tanah kerajaan kekalkan kolam takungan banjir – PM

0
2

MAJLIS Air Negara (MAN) bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga majlis itu secara maya, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, ia termasuk pewartaan perizaban tanah kerajaan untuk pengekalan kolam takungan banjir dan rizab sungai.

Katanya, kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat.

Beliau berkata, gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.

“Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, MAN juga bersetuju menyediakan aras lindung selamat reka bentuk infrastruktur pantai akibat kesan perubahan iklum dan kenaikan aras laut.

“Fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akanterus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

“Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan.

“Supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, antara perkara lain adalah kerjasama Pelaksanaan Inisiatif Air Pulih Guna di antara Indah Water Konsortium Sdn Bhd dengan syarikat operator air negeri.

“Inisiatif Air Pulih Guna ini bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsepEkonomi Kitaran (Circular Economy) dalam menguruskan sumber air negara.

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh Kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan Syarikat Operator Air,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga mahu negara memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

“Mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan.

“Selain itu, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga Rancangan Malaysia
Ke-15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here