SETIAP Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak perlu mendapatkan kebenaran Speaker atau Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mahu membawa masuk barangan di luar kebiasaan untuk tujuan perbahasan.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, berkata pihaknya memahami hasrat setiap Adun yang berusaha sedaya upaya untuk mengetengahkan isu-isu semasa terutamanya yang berkaitan kelangsungan hidup rakyat.
Namun, beliau menegaskan, etika perbahasan perlu diutamakan agar dapat melambangkan Dewan Negeri sebagai institusi legislatif tertinggi negeri.
“Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang.
“Justeru, saya memohon kerjasama pihak keselamatan untuk melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan dibawa masuk ke dalam Dewan Negeri termasuk beg, bungkusan dan sebagainya.
“Saya harap tak ada pula yang nak buat kambing ke, lembu ke pada hari ini,” katanya ketika sesi Pengumuman Yang Dipertua Dewan Negeri di Dewan Negeri, hari ini.
Semalam, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) membuat kejutan dengan membawa seekor ayam segar ke dalam Dewan Negeri pada sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak.
Muhamad Arafat menjelaskan, tindakan itu dilakukan bagi menegur Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri supaya mengambil berat terhadap masalah kenaikan harga barang. – Malaysiapost

