Kompaun RM1,000 tidak memadai lagi – Dr Noor Hisham

0
2

KADAR kompaun RM1,000 sudah tidak memadai lagi terhadap individu dan syarikat pada masa ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, susulan itu cadangan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342 pindaan 2021) perlu ditingkatkan.

Menurutnya, keputusan untuk menaikkan nilai kompaun adalah kerana terdapat syarikat memperoleh keuntungan berlipat kali ganda hingga jutaan ringgit sedangkan kesalahan dilakukan dikenakan kompaun RM1,000.

“Jadi, menerusi cadangan pada pindaan itu juga, denda bagi kesalahan yang dilakukan oleh individu dan syarikat perlu diasingkan.

“Kita lihat banyak kesalahan berulang malah, ada sehingga mencetuskan dua atau tiga kali kluster. Ini bermakna tindakan yang sepatutnya dijalankan oleh syarikat tersebut tidak dilaksanakan.

“Sebagai contoh, kilang sarung tangan yang mengaut keuntungan berjuta-juta dan apabila dikenakan denda mengikut Akta 1988, maksimum hanya RM1,000 jadi ia tidak berkesan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas jumlah kompaun yang bakal dikenakan, beliau berkata, perkara itu perlu dibahaskan terlebih dahulu selain mendapat persetujuan daripada Ahli Parlimen.

Tambahnya, penilaian risiko juga dijalankan bagi meneliti kesalahan yang dilakukan.

“Misalnya, syarikat melakukan kesalahan berulang dan apabila penilaian risiko dijalankan, ia turut menyebabkan kehilangan nyawa.

“Mungkin tindakan berat boleh diambil kepada mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here