Adun Hulu Kinta bawa ayam segar masuk sidang DUN Perak

0
2

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini dikejutkan dengan tindakan wakil rakyat, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) membawa seekor ayam segar ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak.

Muhamad Arafat menjelaskan tindakan itu dilakukan bagi menegur Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak supaya mengambil berat terhadap masalah kenaikan harga barang.

Menurutnya, ayam tersebut dibeli dari sebuah premis di kawasan DUN Gunung Semanggol bagi memperlihatkan harga yang tinggi iaitu sebelum 7 Disember lebih kurang RM10 sekilogram dan terkini berjumlah RM9.30 sekilogram berdasarkan harga kawalan musim perayaan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Teguran tersebut dibuat Muhamad Arafat ketika membahaskan Belanjawan 2022 Perak ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14, hari ini.

“Saya nak hadiahkan ayam ini sebab tak ada tindakan yang diambil oleh Exco. Saya nak tanya, ada tak dialog diadakan bersama peruncit, pengusaha dan pemborong untuk melihat di mana masalah sebenar kenaikan harga ini?

“Apa peranan Exco, adakah ada tindakan diambil? Saya sendiri buat kerja macam Exco contohnya kita panggil pemborong, peruncit dan rakyat untuk dapatkan maklumat di mana salah silapnya di mana puncanya ke arah penyelesaian,” katanya memetik Sinar Harian.

Muhamad Arafat berkata, Exco kerajaan negeri berkaitan diharap agar memahami keperitan rakyat akibat kenaikan harga barangan ketika ini.

Tindakan beliau itu juga menarik perhatian beberapa Adun yang lain yang mencelah ketika sesi perbahasan tersebut.

Sementara itu, ketika sidang akhbar selepas perbahasan itu, beliau menjelaskan isu harga ayam itu ditujukan kepada Razman kerana kenaikan harga barang berpunca di peringkat ladang.

Menurutnya, disebabkan itu perlu diadakan sesi dialog dengan pengusaha dan mencari penyelesaian dengan mengawal harga di peringkat ladang sama ada pemberian subsidi atau sebagainya.

Dalam pada itu, Muhamad Arafat turut mencadangkan agar kerajaan kembali melantik seorang wakil kampung di dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berbanding tiga orang mewakili setiap parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here