[PARLIMEN] KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana sekolah atau pihak pengurusan yang menyembunyikan kes buli di sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin, berkata ia sebagai langkah pencegahan serta memandang serius terhadap kes buli yang melibatkan pelajar.
“Kita sedar, kes buli ini sudah lama berlaku, sebab itu kita sedang melihat secara menyeluruh, bagaimanakah pendekatan yang boleh kita laksanakan iaitu memperkukuhkan pemantauan oleh warden di asrama,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikikan menjawab pertanyaan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) meminta kerajaan menyatakan usaha bagi menangani masalah buli di sekolah khususnya murid yang tinggal di asrama seperti dibangkitkan sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Radzi berkata, pihak sekolah boleh melaporkan apa sahaja kes buli dalam sistem tersebut bagi membolehkan kementeriannya tahu maklumat kes yang berlaku dan tindakan patut diambil.
“Kementerian sedang membuat satu kerangka bagi membanteras buli di sekolah termasuk dalam kalangan murid asrama.
“Dalam konteks kesedaran pula, kementerian turut akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera bagi memupuk nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah termasuk murid,” katanya.
Beliau berkata, nilai berkenaan diterap dan dididik oleh guru secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
“Ini bagi memastikan murid benar-benar dapat menghayatinya, seterusnya menjadi sebahagian daripada amalan dalam kehidupan mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah,” katanya. – Malaysiapost

