JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan mengesahkan video tular memaparkan dua harimau belang berkeliaran di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang.
Ia susulan aduan daripada penduduk Remau, Pos Bihai pada jam 5 petang, Jumaat lalu.
Menerusi rakaman itu, dua harimau belang berkeliaran di kawasan kampung malah haiwan tersebut juga kelihatan tidak takut apabila dihampiri manusia.
Pihak PERHILITAN yang turut menerima video berkenaan melalui aplikasi WhatsApp menjelaskan, Kampung Remau merupakan salah satu kampung di Pos Bihai selain tujuh lagi kampung dalam pos berkenaan, lapor Astro Awani.
Susulan laporan itu, PERHILITAN menjalankan siasatan dan memasang perangkap kamera di lokasi pada 11 Disember lalu.
Semalam, PERHILITAN bersama lapan kakitangannya memasang dua unit perangkap dikenali ‘perangkap wahab’ di kawasan berkenaan dengan mengumpankan kambing hidup.
“Operasi tangkapan harimau itu perlu dilakukan kerana ia masih berkeliaran di kawasan kampung berkenaan.
“Selain itu, bagi memastikan keselamatan penduduk di Kampung Remau, mereka diminta berpindah sementara ke kampung berhampiran iaitu di Kampung Tendrik.
“Laluan masuk ke Kampung Remau juga ditutup sementara bagi melancarkan operasi tangkapan dua harimau berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, pihak PERHILITAN akan terus menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan sehingga operasi menangkap dua ekor harimau berkenaan berjaya
Sebelum itu, media melaporkan Jabatan PERHILITAN Kelantan berjaya menangkap seekor harimau belang betina, selepas haiwan liar yang diberi gelaran ‘Syamilla Bihai’ itu memasuki ‘perangkap Wahab’ yang dipasang di Kampung Badak dekat Pos Bihai, Gua Musang, pada 15 Julai 2021.
Harimau belang itu dipercayai pernah menyerang seorang lelaki Orang Asli suku Temiar, Adin a/l Andok, 48, di kawasan kebun di kampung itu pada 5 Julai lalu.
Harimau belang berkenaan kini ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan. – Malaysiapost

