PEKEBUN Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membuka cawangan yang ke-204 di Bahagian Limbang dan Lawas bagi memberi perkhidmatan tanam semula getah kepada masyarakat pekebun kecil di luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cawangan terbaharu itu akan mula beroperasi pada Januari 2022.
“Saya yakin, pembukaan RISDA Daerah di Bahagian Limbang dan Stesen RISDA di Lawas ini adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan.
“Menerusi cawangan RISDA di sini, diharap kegiatan ekonomi penduduk dapat dipertingkat terutama melalui kemudahan aktiviti keusahawan dan pemantauan peningkatan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur, RISDA Sarawak di Rumah Panjang James Jimbau, Kampung Semabat, Limbang hari ini.
Menurutnya, pihaknya memahami permasalahan dihadapi penduduk, terutama di luar bandar seperti Limbang dan Lawas untuk mendapatkan perkhidmatan RISDA.
“Sebelum ini, penduduk Limbang mengalami kesukaran dengan terpaksa menempuh jarak perjalanan melebihi satu jam untuk berurusan dengan pejabat RISDA di Miri atau ke Stesen Kecil RISDA di Lawas.
“Besar harapan saya agar RISDA dapat menjadi sebahagian daripada komuniti di Limbang dan Lawas untuk membantu penduduk meningkatkan kemajuan sektor pertanian khususnya sektor perladangan getah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan melalui RISDA akan terus membantu dalam pembangunan sektor pekebun kecil dengan menyampai bantuan pembangunan kawasan bertanam getah, peningkatan produktiviti, pembangunan semula hasil baharu serta Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2022.
Pada majlis sama, Mahdzir menyempurnakan majlis Pra Pelancaran Pembukaan Pejabat RISDA Bahagian Limbang dan menyampaikan Bantuan Musim Tengkujuh.
Selain itu beliau menyampaikan Bakul Prihatin kepada pekebun kecil RISDA dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat kepada peserta FELCRA yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

