Sudah tiba masanya elaun bomba dikaji

0
2

SUDAH tiba masanya kerajaan mengkaji semula Elaun Bayaran Insentif Bomba (Elaun BIB) yang diterima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika ini iaitu RM110 sebulan.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat menyifatkan jumlah itu tidak setimpal dengan beban dan risiko kerja anggota JBPM yang diarah bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan bagi tugasan lebih masa.

Katanya, jumlah RM110 itu bersamaan RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan hanya sekitar 80 sen setiap jam jika bertugas untuk syif 24 jam.

“Mengikut kronologi, elaun BIB diterima anggota JBPM adalah RM27.50 pada tahun 1990-an sebelum dinaikkan kepada RM90 pada tahun 2000 dan RM110 pada 2007.

“CUEPACS difahamkan sebelum ini JBPM sendiri telah memohon untuk menaikkan elaun BIB kepada anggota mereka namun sehingga kini ia masih belum diputuskan oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden menimpa seorang anggota bomba yang meninggal dunia setelah terlibat dalam letupan ketika memadam kebakaran sebuah kilang di Segamat, Johor awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, Adnan berkata kadar elaun semasa yang diterima ketika ini sangat kecil dan perlu dikaji semula selepas 14 tahun.

“Pekerjaan anggota bomba yang turut berada sebagai barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar.

“Walaupun nilai pengorbanan tersebut tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, ia perlulah setimpal dengan khidmat terutama mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat.

“Peningkatan elaun perkhidmatan antara inisiatif yang boleh diberikan kerajaan bagi menghargai anggota JBPM selain memastikan segala peralatan diterima mematuhi piawaian keselamatan dan diselenggara dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, dari segi justifikasi, memang wajarlah apa yang diminta ini jika dibandingkan dengan risiko dihadapi anggota bomba.

“Justeru CUEPACS berharap kerajaan dapat mempertimbang dengan segera tanpa perlu melakukan kajian yang mungkin mengambil masa lagi,” katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Terdahulu PB Mohd Firdaus Sulaiman, 32, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.15 pagi tadi di Hospital Segamat.

Allahyarham cedera parah terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di Segamat pada Sabtu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here