KOMUNITI India bakal menerima manfaat daripada peruntukan RM600 juta Bantuan Keluarga Malaysia pada tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat dengan kebajikan kaum India di negara ini.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan bantuan tunai sebanyak RM8.4 juta kepada B40 dan Geran Khas Prihatin (GKP) RM1 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro pada tahun ini.
“Ia termasuk 7.6 peratus atau 640,000 B40 daripada komuniti India dan 8 peratus bersamaan 80,000 PKS kepada mikro India,” katanya di Perhimpunan Agung MIC ke-75 hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) pada tahun hadapan.
“Antara lain untuk melaksanakan program bantuan kewangan pengajian bagi komuniti India B40, program pembangunan kapasiti keusahawanan dan juga bantuan kebajikan,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, sebanyak RM25 juta juga disediakan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India dengan pembiayaan pinjaman mudah sehingga RM100,000 dan pada kadar faedah serendah empat peratus setahun.
Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) juga akan menyediakan sehingga RM25 juta untuk latihan kemahiran bagi belia India B40.
“Kementerian Pendidikan pula akan memperuntukkan RM35 juta untuk penyelenggaraan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, melalui Kementerian Perpaduan Negara, satu pelan tindakan untuk Masyarakat India sudah dibentuk.
“Ia dikenali sebagai Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) dan akan dilancarkan dalam jangka masa terdekat, merangkumi pelbagai sasaran jangka pendek dan panjang, bersama agensi peneraju dan pelaksana,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan akan memastikan bahawa taraf hidup masyarakat India terus diperbaiki, berpandukan PTMI dan penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa sejajar dengan RMK ke-12 dan Bajet 2022. – Malaysiapost

