Tuntutan Sabah: Ini fakta yang rakyat Malaysia perlu tahu – Hishammuddin

0
2

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi menjelaskan sebab Malaysia tidak akan berunding dengan Filipina sekali gus tidak melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu tahu fakta bahawa pada 14 September 1963, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kepada Perhimpunan Agung PBB bahawa rakyat Sabah memilih menyertai Malaysia.

Sejak itu, katanya, PBB dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf Sabah sebagai ‘an inseperable, unalienable and integral part of Malaysia’.

“Pada 16 September 1963, Sabah dengan rasminya sertai Persekutuan Malaysia.

“Sebab itu, sebarang tuntutan ke atas Sabah, kita tidak layan dan runding,” katanya menerusi hantarannya di Facebook petang ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin berharap semua pihak jelas mengapa Kerajaan Persekutuan bertegas untuk tidak melayan, apa lagi berunding dengan mana-mana pihak yang cuba mempersoal kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, beliau banyak menulis di Facebook mengenai isu tuntutan pihak asing ke atas Sabah.

“Saya bukan suka-suka. Sebagai Menteri Luar, saya perlu respon kenyataan yang dikeluarkan beberapa pemimpin pembangkang,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan berunding dengan Filipina bagi menamatkan isu tuntutan ke atas Sabah.

Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah timbul semula apabila Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Kemudian tular peta Sabah tertera bendera Filipina yang dikatakan sebagai wilayah ke-14 negara itu dengan nama setiap kawasan disebut dalam bahasa Filipina.

Sebagai reaksi kepada kenyataan Mohd Shafie itu, Hishammuddin kemudiannya menegaskan bahawa kerajaan tiada sebab untuk berunding dengan Filipina mengenai tuntutan negara itu ke atas Sabah kerana tidak pernah mengiktiraf tuntutan berkenaan.

Hishammuddin berkata, sebagai pemimpin Sabah, Mohd Shafie sepatutnya lebih tegas dan bukannya cuba memberi muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah. – Malaysiapost