PARTI Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA) berharap Kemenangan Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden bumbung runtuh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Menanti, Muar.
Menurut MUDA Muar, ia bagi memastikan kejadian sama tidak berulang bukan sahaja di SMK Seri Menanti, malah sekolah lain di seluruh negara.
“Keselamatan para guru, pelajar dan kakitangan sekolah perlu terjamin sebelum sesi persekolahan dibuka,” kata MUDA Muar menerusi kenyataan semalam.
Terdahulu pasukan MUDA Muar melawat ke lokasi bumbung runtuh untuk mendalami sendiri permasalahan di SMK Seri Menanti.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika waktu rehat di hari terakhir persekolahan, Khamis lalu.
“Sewaktu kejadian, para pelajar Tingkatan 1 hingga 5 dan guru-guru masih berada di sekolah, cuma di blok yang berbeza.
“Kedua-dua blok yang dalam proses menukar bumbung uzur telah dikosongkan sepanjang proses baik pulih.
“Tiba-tiba para guru mendengar bunyi kuat yang panjang; disangka lori dalam proses ‘loading’ barang, rupa-rupanya deretan atap bumbung runtuh bersama strukturnya,” katanya.
Menurut MUDA Muar, pihaknya bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku melibatkan komuniti sekolah.
“Projek ini pada awalnya dijangka siap pada awal Januari 2022.
“Namun selepas kes kejadian ini, pihak JKR memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa ia akan disiapkan seawal bulan Februari tahun 2022,” katanya. – Malaysiapost

