MODEL kemajmukan dan kepelbagaian kaum dan agama disertai akar yang ditunjangi semangat Perlembagaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) menjadi acuan mencipta kestabilan yang sekali gus kunci kepada kemakmuran rakyat.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sesungguhnya rakyat mendambakan kestabilan yang mampu ditawarkan melalui model kerjasama utuh dan ‘track record’ cemerlang pentadbiran kerajaan BN terdahulu.
“Justeru, pemimpin-pemimpin muda pewaris perjuangan BN harus tampil dengan imej dan wajah baharu yang segar, berintegriti, berakhlak mulia dan bebas daripada sebarang unsur penyimpangan dan penyelewengan yang mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN,” kata asyraf dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sempena Persidangan Pemuda MIC Kebangsaan yang berlangsung hari ini.
Sambil mengucapkan selamat bersidang kepada pemuda-pemuda MIC, Asyraf juga berharap dengan peneraju kepimpinan baharu, sayap MIC itu mampu melonjakkan kembali parti itu di mata rakyat.
“Mewakili saf kepimpinan Pemuda Barisan Nasional, saya ingin mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh perwakilan Pemuda MIC sempena Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MIC Kebangsaan kali ke-34.
“Manfaatkanlah wadah persidangan ini untuk kita melakukan introspeksi dan retrospeksi dalaman agar segala perancangan dan perencanaan gerak kerja bukan sekadar ‘syok sendiri’ tetapi lebih utama bagi memastikan kerelevanan kita sebagai penyambung lidah dan pembela suara hati rakyat.
“Moga Perhimpunan Agung Pemuda MIC dengan nakhodanya yang baharu K Raven mampu meneruskan agenda #PemudaBangkitKembali demi kelangsungan perjuangan kita untuk rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

