
Dr Mohd Hamidi Ismail dan Wan Ruzailan Al Tumpati
PADA zaman kemunculan dajal, manusia terbahagi kepada dua pihak. Satu pihak bersama dengan dajal, menyokong dan membantunya malah menyembahnya sebagai tuhan. Sementara satu pihak lagi mendustakan dajal sebagi tuhan, memusuhi dan sentiasa berwaspada dengan penipuannya. Walaupun saling bertentangan, kedua-dua pihak tidak terlepas daripada fitnah dajal kerana kedatangannya merupakan petanda besar akhir zaman dan hampirnya Kiamat.
Pada ketika itu hukum-hakam agama dipermainkan dan para agamawan diberi reputasi yang buruk, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Malah lebih ramai manusia menyembah dan menyerahkan diri kepada dajal berbanding yang menentangnya sehingga baginda menyebutkan “yang selamat daripada fitnah dajal hanyalah 12 ribu orang lelaki dan 7 ribu wanita” (riwayat Abu Nu’aym). Jumlah ini mungkin diperselisihkan, tetapi ia merujuk satu jumlah yang sangat kecil.
Ia merujuk kepada bilangan orang-orang yang beriman yang telah bersedia menghadapi dajal sebelum kedatangannya sebagaimana sabda Nabi SAW “yang hanya mengenal dajal hanyalah orang Islam, iaitu mereka yang memiliki iman dalam hatinya walaupun sebesar biji benih, mereka pasti menjauhkan diri mereka daripada dajal” (riwayat al-Tabarani).
Orang beriman dapat mengenal dajal dengan anugerah yang diberikan oleh Allah SWT dan anugerah itu dikenali di sisi ulama sebagai ‘’ilm al-idrak’ (ilmu mengenal). Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengatakan, orang mukmin dapat melihat tanda kafir pada rupa dajal dengan mata lahiriah dan bukan mata kepala mereka. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW “setiap yang mampu membaca dan buta huruf dapat mengenali tanda kafir dajal” (riwayat Ibnu Majah). Mereka dapat melihatnya kerana Allah SWT mahu menyelamatkan mereka manakala manusia yang tidak dapat melihatnya pula termasuk dalam kalangan orang yang binasa.
Sungguhpun mukmin dapat mengenal dajal tetapi mereka tidak terlepas daripada perancangan jahat dajal dan sekutunya. Mukmin diberikan kesusahan, sekatan dan dibunuh sepertimana dalam riwayat al-Bazzar “sewaktu keluarnya masih al-dalalah (penyebar kesesatan), Allah berikannya tempoh semahu yang Allah kehendaki, dia diberikan berada di muka bumi selama 40 hari, dia melempar para mukmin ke dalam keperitan yang perit”.
Bagi orang beriman, fitnah dajal dan kedatangannya merupakan ujian keimanan. Berkata Qadi ‘Iyad “malah ujian terbabit menambahkan lagi keimanan orang-orang yang beriman, sebaliknya menambahkan keraguan orang-orang yang memiliki penyakit dalam hati mereka”.
Kedatangan dajal disambut oleh pemuja dan pengikut setianya. Mereka terdiri daripada orang munafik dan fasik yang menagih kesenangan yang di bawa oleh dajal di samping takutkan kemarahannya. Ciri-ciri nifak dan fasik pengikut dajal dinyatakan oleh Nabi SAW dengan sabda “sewaktu datang dajal dan tiba di sempadan Madinah, dia menghentak tongkatnya dengan 3 kali hentakan” (riwayat al-Bukhari). “Setiap kali hentakan, keluarlah sekalian munafik dan fasik meluru ke arahnya, lalu berakhirlah Madinah. Maka hari itu dinamakan Yaum al-Khallas (hari penyudahan)” (riwayat al-Hakim). Apa yang diinginkan oleh pengikut dajal ialah habuan dan kesenangan duniawi yang dipamerkan dalam bentuk air atau segunung roti yang mana ia adalah tipu helah dajal.
Terdapat takwilan lain terhadap habuan-habuan yang dibawa dajal akan tetapi takwilan yang banyak merujuk kepada kesenangan duniawi. Sekalipun pengikut dajal memperolehi kesenangan namun kesenangan tersebut menghayutkan mereka ke dalam kesesatan. Ibnu Hajar al-‘Asqalani menegaskan, orang yang patuh kepada dajal diberikan kenikmatan syurga dunia sehingga dia alpa dan menenggelam ke dalam neraka di Akhirat.
Dajal mengumpulkan pengikutnya bermula daripada timur iaitu tempat pertama dia keluar. Terdapat riwayat yang mengatakan tempat tersebut ialah Khurasan atau Asfahan. Pada permulaan seruannya, dia menyeru kepada khilafah, iman dan keharmonian sejagat. Dia diberikan kuasa menggunakan sihir bagi seruan tersebut. Kemudian dia menyeru kenabian dan berakhir dengan seruan ketuhanan.
Sebuah hadis Nabi SAW memperihalkan perkara ini dengan sabda “sewaktu dajal sampai ke Kufah, dia menzahirkan agama baharu, ada yang mengikutinya dan mereka mengajak orang lain kepadanya. Setelah itu dia (dajal) mendakwa sebagai nabi. Pada ketika itu sedarlah orang-orang yang berakal lalu mereka menjauhinya. Seketika kemudian, dajal berkata: akulah Allah, lalu butalah matanya, putus telinganya dan ditulis di antara dua matanya kafir” (riwayat al-Hakim).
Ada pendapat mengatakan dajal telah keluar iaitu semasa pembukaan Kota Konstantinopel oleh umat Islam pada kurun ke-9 Hijriah oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Dalam riwayat Muslim, dajal keluar dengan kemarahan yang teramat. Pendapat ini dikukuhkan dengan bukti hadis kehadiran dajal di Uhud pada masa terbinanya Masjid Nabawi dengan warna putih. Sabda Nabi SAW “pada waktu dajal datang, dia mendaki Uhud. Lalu dia memandang ke arah Madinah dan berkata kepada pengikutnya: Adakah kalian boleh melihat istana putih ini? Inilah masjid Ahmad” (riwayat Ahmad). Binaan Masjid Nabawi tidak pernah berwarna putih sehinggalah pada tahun 892 Hijriah.
Pada tahun tersebut, Sultan Qaytbay telah membina kubah makam Nabi SAW dengan warna putih. Atau Masjid Nabawi dilihat putih dengan pencahayaan yang terhasil daripada lampu-lampunya pada waktu malam. Jika dajal dan pengikutnya berada di Uhud pada kedudukan jaraknya 9 atau 10 kilometer, suasana putih Masjid Nabawi suatu yang tidak mustahil.
Begitu juga jika mereka berada di Juruf, suatu tempat dalam perjalanan ke Madinah dari arah Syam, atau tempat bernama Ruwaq al-Fustat, sepertimana direkodkan dalam kitab Fath al-Bari. Malah suasana ini lebih masuk akal jika pencahayaan Masjid Nabawi menggunakan tenaga eletrik, yang mana ia bermula digunakan pada masjid terbabit pada tahun 1909 Masihi.
Kemuncak seruan dajal bahawa dialah tuhan. Dia disebutkan berkata kepada pengikutnya “apa pandangan kalian sekiranya aku membunuh orang ini, kemudian aku hidupkannya kembali, apakah kalian meragui ketuhananku?” (riwayat al-Bukhari). Ibnu al-‘Arabi al-Maliki menyatakan, segala keupayaan yang dipertontonkan dajal merupakan ujian daripada Allah SWT. Orang yang ragu akan terpedaya dengan kemampuan dajal sementara orang yang bertaqwa pasti akan terselamat. Ibnu Hajar al-‘Asqalani menegaskan, orang bertaqwa sama ada alim, buta huruf atau yang tidak diberikan penghujahan akal dapat mengenal pembohongan dajal sebagai tuhan.
Nabi SAW telah mengajarkan caranya dengan sabda “ketahuilah oleh kalian, tiada seorang pun yang boleh melihat Tuhannya kecuali sehinggalah dia mati” (riwayat Muslim). Sesungguhnya melihat Allah SWT disyaratkan dengan mati, justeru itu bagaimana tuhan yang didakwa dajal terhadap dirinya dapat dilihat di dunia ini.
Fitnah-fitnah yang dibawa dajal adalah fitnah yang sangat hebat bagi umat manusia. Oleh itu Nabi SAW bersabda “tiada satu fitnah di antara penciptaan Adam sehingga berlakunya Kiamat lebih besar daripada fitnah dajal” (riwayat al-Hakim”. Oleh itu, setiap nabi diutuskan mengingatkan tentangnya, sabda Nabi SAW “tiada seorang pun nabi yang dibangkitkan melainkan memberi peringatan kepada umatnya tentang pendusta bermata satu” (riwayat al-Bukhari). Oleh itu umat Islam diperintahkan sentiasa bermohon perlindungan kepada Allah SWT daripada fitnah dajal dan berusaha mengelak daripada terjebak ke dalam tipu helahnya.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (Dr Mohd Hamidi) dan pendakwah bebas (Wan Ruzailan)
(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)
