Melaka bincang wajib guru asrama lakukan ujian mingguan saliva Covid-19 – KM

0
2
Kit ujian kendiri Covid-19 dinamakan Salixium Covid-19 Rapid Antigen Rapid Test (Saliva/Nasal Swab Samples) yang dibuat Reszon Diagnostic International Sdn Bhd Malaysia dan Gmate Covid-19 Ag Saliva For Home Use oleh Philosys Co Ltd, Korea dijual di sebuah farmasi Selayang ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

MELAKA akan memperhalusi dan membincangkan cadangan mewajibkan semua guru di sekolah berasrama melakukan ujian saliva Covid-19 secara mingguan. 

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata cadangan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh itu baik namun perlu melihat beberapa implikasi sebelum ia dilaksanakan.

“Ia satu cadangan yang baik, tapi kena lihat implikasi daripada kos ujian saliva itu kalau ianya dibuat dan dari segi logistiknya nak beri orang buat ujian itu.

“Kalau Dr Akmal selaku Exco Kesihatan boleh uruskan, pihak Dr Azam  (Dr Mohd Azam Ahmad Pengarah Pendidikan Melaka) mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2021 hari ini. 

Ditanya adakah secara dasarkan kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan itu, Sulaiman berkata, perbincangan lanjut perlu diadakan termasuk mendapat laporan terperinci mengenai kes jangkitan Covid-19 di sekolah berasrama di negeri berkenaan yang disifatkannya tidak membimbangkan.

“Cadangan boleh diberi, sesiapapun boleh bagi. Setakat ini, tiada laporan jangkitan di sekolah berasrama lain kecuali satu kes di Selandar,” katanya.

Terdahulu, majlis sambutan itu menyaksikan seramai 45  guru menerima anugerah daripada pelbagai kategori termasuk Anugerah Ikon, Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pengarah JPN Melaka.

Sebanyak tiga Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka turut disampaikan kepada tiga penerima iaitu Datuk Md Rashid Hussin, Abdul Rani Embi dan Tan Cheng Kwang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here