Bantu LGBT kembali ke pangkal jalan

0
2

MASYARAKAT disaran tidak bersikap diskriminasi dan menggubah tanggapan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebaliknya berkata golongan itu perlu dibantu dengan diberi pendidikan supaya kembali ke pangkal jalan.

Katanya, meskipun banyak yang menyimpang jauh, namun jumlah yang kembali ke pangkal jalan juga semakin ramai.

“Matlamat dan tugas masyarakat adalah membendung dan menangani perkara itu secara berhemah daripada terus berleluasa.

“Kita mahu kembalikan mereka ke arah lebih baik dan harmoni dengan jiwa sebenar mengikut fitrah Allah,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Zulkifli berkata, beliau sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dan menghadiri program bersama komuniti LGBT, yang mana kehadiran golongan ini sangat ramai.

Beliau berkata, masyarakat perlu prihatin untuk sama-sama menangani isu ini, sekali gus dapat memberikan pemahaman mengenai kesan dan pengaruhnya kepada semua pihak.

“Penguatkuasaan bukan hanya ditujukan kepada LGBT semata-mata, tetapi golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan.

“Mereka akan diberi nasihat, selepas itu barulah diambil tindakan secara berhemah.

“Tugas penguat kuasa Jawi perlu dilaksanakan, tetapi bukan hanya terbatas kepada sesetengah golongan sahaja seperti yang dikatakan sesetengah pihak,” katanya. – Malaysiapost