POLIS menerima bayaran saman berjumlah kira-kira RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam sepanjang pelaksanaan diskaun saman sebanyak 80 peratus sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada 287,500 saman, 8,943 daripadanya dengan nilai RM431,330 dikutip melalui kaunter diskaun Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Katanya, sejumlah 74,312 saman pula membabitkan nilai RM3.4 juta berjaya dikutip melalui aplikasi dan portal MyBayar Saman.
Jelas beliau, biarpun kaunter di KLCC sudah ditutup, namun orang ramai boleh terus membayar saman di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) yang mempunyai kaunter trafik dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.
“Mereka boleh membayar melalui MyBayar Saman secara dalam talian selama 24 jam dan memang ada berlaku masalah untuk diakses ketika waktu puncak.
“Namun, orang ramai diminta bersabar dan terus menggunakan aplikasi itu sebagai alternatif pembayaran,” katanya kepada media hari ini.
Mengulas mengenai penutupan kaunter di KLCC, Mazlan berkata, ianya disebabkan jumlah pengunjung yang ramai sehingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini dilaporkan berkata, kaunter diskaun saman polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di acara itu yang menjadi antara tarikan utama pengunjung ditutup mulai petang ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengenakan kompaun RM1,000 kepada penganjur program tersebut mengikut Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Polis Diraja Malaysia

