Zahid minta PDRM lanjut tempoh diskaun saman 80%

0
3

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80 peratus, bagi memberi peluang orang ramai membuat bayaran.

Ahmad Zahid berkata, lanjutan tempoh bayaran itu perlu memandangkan jumlah mereka yang mahu mendapatkan diskaun saman trafik terlalu ramai.

Tambahan pula, katanya, begitu banyak rungutan didengari berhubung pelaksanaannya, termasuk portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman untuk pembayaran online tidak dapat diakses pengguna.

“Diskaun 80% pengurangan bayaran saman trafik sempena Sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia membuatkan rakyat berasa gembira.

“Juga telah membuatkan ramai rakyat berasa lega dengan pengurangan diskaun yang diberikan.

“Tetapi apa yang terjadi sebaliknya apabila begitu banyak rungutan didengari berhubung pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, disebabkan gagal mengakses aplikasi pembayaran online, orang ramai terpaksa berpusu-pusu ke kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah kerana tawaran sah untuk tempoh empat hari sahaja.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, tidak semua berpeluang memasuki kaunter dan ada antaranya pulang dengan perasaan kecewa kerana jumlah di kaunter telah melebihi had.

“Tawaran begini sudah menjadi suatu kemarahan pula dalam kalangan rakyat dan sepatutnya boleh dielakkan jika ada perancangan yang teratur.

“Memandangkan jumlah mereka yang mahu mendapatkan diskaun saman trafik terlalu ramai, tempoh masa untuk membuat bayaran wajar dilanjutkan.

“Ini demi berlaku adil dan mencapai objektif diskaun saman untuk mengurangkan beban rakyat semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, rata-rata orang ramai merungut selepas sistem bayaran saman trafik secara dalam talian dan aplikasi MyBayar Saman gagal diakses sejak semalam.

Difahamkan, mereka yang tidak dapat membayar saman di kaunter diberi kelebihan untuk membayar saman secara online, namun sistem bayaran saman trafik masih tidak boleh diakses sejak bermulanya tarikh penawaran diskaun tersebut.

Menurut maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook, kegagalan sistem adalah disebabkan aliran trafik yang sangat tinggi ketika ini.

PDRM menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80 peratus bermula Khamis lalu sehingga 12 Disember ini. – Malaysiapost

Kredit Foto: Polis Diraja Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here