PELAKSANAAN moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan tidak akan memberikan kesan terhadap bekalan bahan mentah dari sumber tempatan bagi keperluan industri pemprosesan kayu.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam kenyataan berkata, ia disebabkan keputusan moratorium tersebut hanya melibatkan baki kelulusan yang belum diberikan kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang oleh kerajaan negeri.
Katanya, sementara itu, kelulusan pembangunan ladang hutan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang yang sedia ada tidak terlibat dengan pelaksanaan moratorium tersebut.
“Berdasarkan rekod, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) daripada hutan pengeluaran sedia ada dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK)dan kawasan-kawasan pembangunan dalam tanah milik dan tanah kerajaan dijangka mampu mengeluarkan secara purata 4.1 juta meter padu (m³) bekalan bahan mentah setahun.
“Ini belum mengambil kira kawasan ladang hutan yang telah ditanam seluas 113,039.50 hektar dalam HSK yang dianggarkan mampu mengeluarkan bekalan bahan mentah sebanyak 1.5 juta m³ setahun. Purata keperluan kayu balak di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 4.2 juta m³ setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KeTSA berkata, pihaknya akan mengadakan perundingan secara terperinci dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mencapai kata sepakat dalam menjayakan keputusan yang telah dipersetujui dalam MTN Ke-79.
Selain itu, KeTSA juga meminta kerjasama kerajaan-kerajaan negeri memastikan pengusaha ladang menyegerakan penanaman di kawasan ladang hutan yang telah diluluskan dan dibersihkan.
“Kawasan yang telah dibersihkan tidak wajar dibiarkan kosong bagi mengelakkan kemerosotan ekosistem dan risiko berlakunya kejadian bencana alam.
“Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan jabatan-jabatan perhutanan negeri sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat dalam pengurusan ladang hutan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

