Jangan biar buli berleluasa – Syed Saddiq

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan isu buli tidak harus dianggap perkara biasa atau budaya normal di kalangan pelajar yang tinggal di asrama.

Menurutnya, orang ramai perlu berhenti menganggap tidak mengapa jika pelajar dibuli, kerana situasi itu sudah sebati dengan pelajar di asrama sejak dari dahulu.

“Jangan pandai-pandai mahu biarkan buli berleluasa sebab kononnya ‘bina mental strength’, waktu dulu-dulu, buli okay je’, ‘alah, benda kecik je tak patah badan, kira okay la’,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan era Pakatan Harapan (PH) turut mengingatkan bahawa kegiatan buli adalah satu jenayah.

“Buli adalah buli. Ia satu jenayah. Kalau ada maklumat kes buli, lapor terus kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

Hari ini, tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan kejadian buli dipercayai berlaku di asrama sebuah institusi pendidikan yang menunjukkan seorang remaja di tumbuk di perut serta turut ditendang oleh beberapa remaja lain.

Terdapat empat video yang tersebar dan dua daripadanya berdurasi 30 saat, manakala dua lagi masing-masing berdurasi 10 saat dan 12 saat.

Antara ‘aksi’ yang dirakam dalam video terbabit menunjukkan seorang remaja berpakaian baju warna merah dan seluar kelabu di tumbuk di bahagian perut oleh seorang remaja lain.

Turut dirakam seorang lagi remaja lain bertindak menyepak punggung remaja sama dengan kuat, namun remaja yang dibuli terbabit hanya berdiam diri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here