KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengambil tindakan susulan berhubung video tular yang memaparkan insiden buli dipercayai melibatkan pelajar di sebuah sekolah berasrama.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan institusi di bawah KPM.
“Saya menerima hantaran video yang tular berkenaan murid yang dipukul di sebuah asrama.
“Berdasarkan siasatan awal, kami dapati kejadian tersebut tidak melibatkan institusi bawah KPM,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, KPM telah berhubung dengan pihak yang terlibat dan tindakan susulan telah pun diambil.
“KPM komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep #sekolahkuSEJAHTERA,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan pihaknya sedang insiden buli berkenaan dipercayai melibatkan pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.
Mior Faridalathrash berkata, beliau sudah mengarahkan polis Kuala Kangsar supaya melakukan siasatan kejadian tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial hari ini beberapa rakaman video kejadian buli dipercayai berlaku di asrama sebuah institusi pendidikan menunjukkan seorang remaja ditumbuk di perut serta turut ditendang oleh beberapa remaja lain.
Video berkenaan ditularkan oleh seorang pengguna Facebook, namun semakan mendapati kesemua rakaman itu sudah dipadamkan daripada akaun terbabit dan tarikh serta di mana kejadian sebenar berlaku tidak dapat dipastikan.
Terdapat empat video yang tersebar dan dua daripadanya berdurasi 30 saat, manakala dua lagi masing-masing berdurasi 10 saat dan 12 saat. – Malaysiapost

