ORANG ramai yang gagal mengakses portal atau aplikasi mudah alih MyBayar Saman untuk tawaran pengurangan kompaun saman sehingga 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia disarankan agar melayarinya di luar waktu puncak.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mat Kasim Karim, berkata sokongan tinggi daripada rakyat terhadap tawaran berkenaan telah menyebabkan kesesakan kepada capaian sistem pembayaran saman secara dalam talian itu.
Menurutnya, sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan orang ramai yang gagal mengaksesnya supaya berbuat demikian di luar waktu puncak.
“Ia memandangkan perkhidmatan dalam talian berkenaan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh tawaran kompaun.
“Pembayaran kompaun juga boleh dibuat di kaunter PDRM di KLCC, kaunter bayaran saman trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Kontinjen (IPK),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bayaran di kaunter boleh dibuat dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang termasuk pada cuti hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh sambutan 100 Hari Keluarga Malaysia, 9 hingga 12 Disember ini.
“Dalam masa sama, PDRM menyeru orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan Covid-19 semasa berurusan di kaunter bayaran saman,” katanya. – Malaysiapost

