Siasatan ambil alih tanah Sungai Baru ditangguh tahun depan

0
1
Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Shahidan Kassim

SIASATAN pengambilan tanah di flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru, Kampung Baru dicadangkan agar ditangguh ke tahun depan.

Cadangan penangguhan itu diberikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas hasil rundingan bersama dengan semua pihak yang terbabit dalam isu berkenaan.

Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dalam satu kenyataan, memaklumkan sebagai langkah proaktif rundingan bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL), pemaju dan pemilik lot atau flat PKNS Sungai Baru berhubung isu berkenaan telah diadakan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui PKB bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula ini selaras fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733).

“Lanjutan daripada rundingan yang dijalankan, Menteri Wilayah Persekutuan mencadangkan supaya siasatan pengambilalihan tanah ke tahun depan.

“Ia bagi membolehkan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot / flat PKNS Sungai Baru untuk mencapai satu persetujuan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, Menteri Wilayah Persekutuan juga akan sentiasa berusaha untuk membantu bagi memastikan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot atau flat terbabit berjalan dengan harmoni.

Isu pengambilan tanah Kampung Baru hangat apabila kerajaan didakwa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) untuk memajukan kawasan berkenaan.

Rancangan pembangunan semula itu meliputi kawasan penduduk yang mendiami dua jenis kediaman, iaitu flat PKNS dan rumah di tanah persendirian.

Difahamkan, sebanyak 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan berkenaan dan memberikan tandatangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here