Gagal patuh SOP, lebih RM12.3 juta kompaun dikeluarkan

0
2

SEBANYAK 6,777 individu dan syarikat di Melaka yang melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dikenakan kompaun bernilai lebih RM12.3 juta sejak Mac 2020 hingga 7 Disember lalu.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jumlah itu direkodkan bagi tempoh 19 bulan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, tempoh sama menyaksikan sebanyak 30,084 premis telah diperiksa melibatkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial khususnya selepas majoritinya dibenarkan beroperasi apabila Melaka memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, 18 Oktober lalu.

“Sebanyak 6,777 kompaun dikeluarkan kepada individu dan syarikat kerana melanggar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Keseluruhan kompaun ditawarkan bernilai RM12,385,000 yang mana daripada jumlah itu, 3,266 kompaun telah dibayar dengan kutipan berjumlah RM3,041,100,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau mengetuai Operasi Khas Penguatkuasaan SOP PPN Fasa 4 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang turut disertai Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abd Rahman.

Menurut Dr Akmal, operasi hampir empat jam bermula jam 8.30 malam itu bertujuan menyedarkan masyarakat supaya tidak leka dengan SOP MKN walaupun setelah hampir dua tahun dunia ‘berperang’ dengan Covid-19.

“Ditambah pula dengan kemunculan beberapa varian baru seperti Delta dan Omicron yang sangat berbahaya kerana kemampuan merebaknya adalah lebih 300 kali ganda.

“Operasi malam ini (tadi) menyaksikan empat lagi individu dikompaun RM4,000 atas kesalahan Akta 342 kerana gagal mengimbas Kod QR MySejahtera.

“Selain itu, 10 lagi dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 daripada semua 24 premis yang diperiksa,” katanya.

Beliau berkata, Operasi khas SOP PPN Fasa 4 dijalankan serentak dengan penguatkuasaan PPKHT 2004 selaras dengan kehendak Artikel 8 FCTC iaitu melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok basi atau ‘second hand smoker’.

Sementara itu, mengenai penguatkuasaan larangan merokok di bawah PPKHT 2004 pula, beliau berkata sebanyak 278 notis kesalahan dikeluarkan sehingga 7 Disember lalu kerana merokok di kawasan larangan dan beberapa kesalahan lain.

Ia membabitkan 303 kompaun bernilai RM63,600 dan amaun kompauan dibayar adalah RM42,455,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here