Polis kesan individu hina OKU

0
4

USAHA mengesan semua individu yang didakwa mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU) yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu sedang dilakukan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima aduan pada jam 2.10 petang semalam daripada seorang wanita berkenaan kes mempersendakan golongan OKU menerusi media sosial

Menurutnya, pengadu menonton dua klip video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok yang mempersendakan OKU dan menyalahgunakan kemudahan OKU semasa berada di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

“Video pertama membabitkan dua lelaki yang berlagak sebagai OKU di tempat letak kereta OKU di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

“Suspek didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka di tempat letak kereta OKU dan menggunakan bahasa kasar serta tidak sopan.

“Video kedua pula mengenai dua wanita yang menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak. Mereka mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pengadu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana beranggapan semua individu itu menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan dan menggunakan warga OKU sebagai bahan menarik perhatian pengguna di media sosial.

“Polis kini sedang mengesan semua suspek berdasarkan maklumat yang disalurkan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” katanya.

Terdahulu, Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi dilaporkan membuat laporan polis berhubung kes berkenaan semalam.

Ras Adiba yang juga Ahli Dewan Negara berkata, laporan itu bertujuan menghalang insiden menghina OKU terus berlaku dan seterusnya menjadikan pengajaran supaya orang ramai lebih prihatin terhadap golongan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here