POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pencerobohan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya memandang serius berhubung laporan media bahawa terdapat pihak dari Filipina sedang merancang untuk menceroboh Sabah.
Menurutnya, komitmen dalam perkara itu akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di negeri berkenaan.
“PDRM turut mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.
“Setakat ini tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ianya dipercayai merupakan maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara Sabah dan Wilayah Selatan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan elemen-elemen PDRM sentiasa dalam keadaan siap siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang ancaman.
“Usaha juga akan digiatkan bagi mengesan dan mengenalpasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan.
“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” katanya. – Malaysiapost

