Kluster PRN Melaka meningkat 234%

0
2

KES positif Covid-19 akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilaporkan meningkat 234.1 peratus kepada 137 orang berbanding 41 sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata peningkatan daripada Kluster Pulau Gadong adalah membabitkan guru dan pelajar.

Dr Muhamad Akmal berkata, peningkatan itu adalah hasil saringan terhadap 224 pelajar dan guru di dua pusat tahfiz berkenaan.

“Hari ini hasil saringan kita dapati sebanyak 137 disahkan positif, manakala baki 87 yang menjalani ujian PCR adalah negatif dan tidak bergejala, namun diarahkan menjalani kuarantin sejak 25 November lalu.

“Setakat ini kita kesan jangkitan hanya membabitkan guru dan pelajar di dua madrasah berkenaan sahaja dan mereka juga berada di dalam asrama sejak kes indeks pertama dikesan pada 25 Disember.

“Mereka ini tiada langsung dengan kontak luar jadi orang ramai dinasihati tidak perlu bimbang kerana kebarangkalian jangkitan Kluster Pulau Gadong ini berlaku dalam komuniti adalah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh, hari ini.

Isnin lalu, Melaka merekodkan satu kluster akibat PRN Melaka yang menyaksikan 41 orang positif daripada 185 yang disaring.

Kes indeks bermula pada 21 November apabila guru berkenaan mempunyai simptom telah mengajar di dua pusat tahfiz berkenaan sebelum beliau disahkan positif pada ujian saringan yang dibuat pada 25 November.

Kedua-dua madrasah itu juga ditutup sehingga 17 dan 18 Disember ini di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Akmal berkata, tempoh pembukaan PKRC MITC yang akan tamat pada 19 Disember ini akan dilanjutkan lagi sehingga Jun tahun depan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku gelombang atau varian baharu Covid-19.

“Perkara ini diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, namun lanjutan tempoh enam bulan ini bukanlah disebabkan ada peningkatan kes positif Covid-19, sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku gelombang baharu virus ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here