Syed Saddiq kecam geng basikal wanita persenda OKU

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengutuk tindakan biadap ‘geng basikal wanita’ yang dipercayai mempersenda golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi video tular di aplikasi TikTok.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu, berkata perlakuan wanita itu sebagai tidak berhati perut dan tidak beradab, sekali gus mendatangkan kemarahan banyak pihak.

“Ini tindakan yang tak ada hati perut, tidak ada perikemanusiaan dan tidak ada adab.

“Macammana boleh terdetik hati mahu mempersenda dan mengajuk komuniti OKU? Siap rakam lagi,” katanya menerusi Facebook.

Syed Saddiq berkata, tindakan mempersenda golongan OKU sangat tidak wajar kerana mereka adalah sebahagian daripada komuniti masyarakat.

“Saya percaya semua marah dengan situasi ini. Hanya sebilangan kecil yang tidak ada empati yang berbuat begini. Tiada siapa yang minta dilahirkan cacat.

“Boleh jadi mereka adalah ahli keluarga atau rakan kita. Mereka juga tidak minta dilahirkan dalam keadaan cacat. Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini,”katanya.

Semalam, tular video memaparkan sekumpulan wanita berbasikal yang dilihat mengajuk fizikal OKU ketika masuk ke dalam tandas golongan itu.

Menerusi video yang dimuat naik oleh j0ker896 di TikTok, memaparkan dua orang wanita yang dipercayai penunggang basikal berlakon seperti OKU untuk masuk ke dalam tandas yang dikhaskan untuk golongan berkenaan.

Di dalam video itu turut kelihatan kedua-duanya bergelak ketawa dan salah seorang daripadanya berlakon seperti mengalami kecacatan.

Video berkenaan disertakan kapsyen: ‘Tandas OKU lah katakan. Makanya…’

Video berdurasi sembilan saat itu meraih lebih 341,000 tontonan dan mendapat lebih 4,000 tanda suka di TikTok.

Sejurus video itu tular, rata-rata netizen menzahirkan rasa kecewa dan marah dengan perlakuan wanita berkenaan yang didakwa tidak sensitif serta mempersenda golongan OKU. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here