Teringat kali pertama Harimau Malaya julang Piala AFF

0
1

BOLA sepak boleh menjadi musuh, dan bola sepak juga boleh jadi kawan, kata bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau mengimbau kembali detik bersejarah skuad Harimau Malaya memenangi Piala AFF 2010 dengan menumpaskan skuad Garuda, di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

Menurutnya, setiap kali bertemu bekas penyerang utama negara Safee Sali tentu banyak cerita lama dikongsi terutama zaman kegemilangan menang Piala AFF 2010.

“(Safee) Pernah jadi orang paling dibenci di Indonesia kerana golnya meremukkan hati ratusan juta rakyat di sana.

“Dalam perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur. Malaysia menang 3-0. Safee sumbat 2 gol. Perlawanan kedua di Jakarta. Masih ingat, setiap kali bola di kakinya, satu stadium berbisik, “ini bahaya, bahaya…!”

“Selepas itu Pelita Jaya beli Safee dari Selangor. Di sana, selain permainannya, tingkah laku dan kesopanannya pula menjadi buah mulut, orang Indonesia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Shabery memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2009 hingga 2013 dan ketika beliau menjawat jawatan itu pasukan bola sepak negara buat pertama kali menjuarai Piala AFF.

Skuad kendalian Datuk K Rajagobal menumpaskan pasukan Indonesia dengan agregat 4-2 selepas dua perlawanan akhir.

Malaysia yang juga naib juara Piala AFF 2018 kini memburu kejuaraan kedua bagi piala berprestij di Asia Tenggara itu dan berada dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Kumpulan A pula disertai Thailand, Myanmar, Filipina, Singapura dan Timor Leste.

Dalam aksi pertama yang diadakan di Stadium Bishan, Singapura skuad Harimau Malaya bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe berjaya menumpaskan Kemboja 3-1 dan dijadualkan bertemu Laos pada 5.30 petang ini di satium sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here